Untuk renungan
bersama, bacalah kisah dibawah......
Kadang-kadang saya rasa tersinggung apabila
permintaan saya tidak dihargai.
Saya bukan meminta kelebihan.
Apa yang saya pohonkan ialah pada beberapa
kotak kosong di dalam diari bulanan saya,
ia adalah masa saya untuk isteri dan anak-anak.
"Bolehlah ustaz, janganlah macam itu. Anak hari-hari boleh jumpa.
Kami sudah tiada masa lain yang sesuai untuk
menjemput ustaz.
Harap ustaz dapat pertimbangkan permintaan
kami", kata seorang pemanggil yang menelefon saya.
Dialog seperti ini meletakkan saya pada situasi yang menjadikan saya
serba
salah.
Mengapakah masa seorang ustaz untuk anak-anaknya
tidak dianggap penting?
Bukankah itu sesi beliau menunaikan kewajipan
nafkah kasih sayang, didikan dan perhatiannya kepada anak-anak.
Semasa saya kecil, saya tinggal di sebuah
kawasan perumahan dan seawal usia 10 tahun,
saya pernah membuat kesimpulan bahawa budak-budak
jahat pada masa itu, sama ada anak ustaz, tak pun anak polis!
Alangkah prejudisnya saya semasa itu. Saya tidak faham bagaimana saya
boleh beranggapan sedemikian rupa.
Mungkin kerana geram saya apabila basikal
yang ayah belikan, dibengkokkan oleh si Samseng Kampung Dusun,
anak seorang ustaz. Tetapi hari ini
hati saya menjadi gundah semula.
Terutamanya selepas menerima maklum balas
seperti dialog di atas.
Kera di hutan disusukan, anak di rumah mati kelaparan. Itulah
peribahasa
Melayu yang amat menusuk perasaan saya.
Ketika saya menaip artikel ini, Saiful Islam
dan Naurah sedang tidur nyenyak di depan saya.
Memandang mereka telah meretak hibakan hati
saya.
"Maafkan Abi, wahai anak-anakku, Abi berdosa mengabaikan kalian",
saya sukar menahan hati dari bersedih.
Saya masih ingat, semasa saya di Ireland, usaha saya mendidik dan
membesarkan
Saiful Islam, ternyata amat mudah.
Malah saya setiap hari memanjatkan syukur
kepada Allah kerana Saiful Islam amat mudah untuk diurus.
Dengan tugas saya sebagai Imam, saya tidak
keberatan untuk membawa anak sulung saya ke masjid,
saya baringkan di kepala sejadah dan matanya
berkelip-kelip melihat saya menyampaikan khutbah Jumaat.
Semasa itu, untuk saya menegurnya ketika dia melakukan kesalahan,
caranya
amat mudah.
Saya tunding jari, tanpa perlu membuka
bicara, Saiful Islam sudah menghamburkan air mata takutkan 'kemarahan'
saya.
Tidak dinafikan, ketika itu mungkin usia
anak saya baru setahun dua. Memang tidak susah menjaganya.
Tetapi apabila saya fikirkan, hari ini saya
tetap saya yang sama.
Anak bertambah, usia mereka juga bertambah,
tetapi mereka tetap berayahkan ayah yang sama.
Tetapi kenapa hari ini, fikiran saya selalu
kusut memikirkan mereka?
Ya, suasana di Ireland amat saya rindui. Saya duduk di negara Kuffar,
tetapi usaha mendidik anak memang mudah dan menggembirakan. Saya tidak
menyesal menjadi 'suri rumah' selama beberapa tahun. Saya bertugas
secara
sambilan
di beberapa masjid, menyambung pengajian
Master secara distance learning dengan The Open University, UK,
dan sambil itu saya menjaga soal makan minum,
hal ehwal rumah tangga, dan Saiful Islam membesar di depan mata.
Itu lebih baik, daripada saya bekerja sebagai kasyer di pasar raya,
kemudian
semua gaji dibayar kepada nursery
yang mencecah harga ratusan Euro sebulan.
Masakan tidak, semua nanny memegang Ijazah Early Childhood
Learning malah mahir pula dengan rawatan
kecemasan Paedriatrik dan first aid.
Namun saya gembira membesarkan anak dengan tangan saya sendiri. Isteri
saya sibuk bekerja di wad kecemasan
hospital, shifnya tidak tentu siang malam.
Maka saya mengambil alih tugas di rumah. Setiap pagi saya mandikan
anak,
menyalin bajunya, menggoreng kentang atau
pasta kosong untuk sarapan. Saya bermain bersamanya seketika,
kemudian ke dapur memasak untuk makan tengah
hari. Saiful Islam tidur semula sekitar jam 11 dan saya naik ke bilik
ulangkaji untuk membuat assignment. Zohor
kekadang di masjid, jika cuaca baik. Tengah hari saya qailulah
seketika,
solat Asar dan kemudian membawa Saiful Islam
ke hospital untuk mengambil isteri saya dari tempat kerjanya, pulang
bersama sambil menghirup udara petang yang
segar. Ketika di Naas, kadang-kadang kami melencong ke belakang
hospital bersama roti keras yang saya bawa
dari rumah, untuk memberi burung undan di tasik, makan petang bersama
kami.
Saya mencampak roti ke tasik, Saiful
Islam dan Umminya turut sama.
Jika isteri saya oncall, saya akan ke hospital menghantar nasi dan
lauk,
khususnya semasa isteri saya mengandung
anak kedua kami, Naurah Sabihah. Suasana
ketika itu memang nyaman, fikiran saya tenang dan prolifik, kegiatan
kemasyarakatan banyak dan saya sanggup mengayuh
mountain bike selama 2 jam untuk memberi kuliah Tafsir
Surah Yasin kepada adik-adik yang tinggal
di South Circular Road, Dublin.
Itulah suasana saya membesarkan anak ketika di Ireland. Memang hati
kami
sunyi tidak mendengar laungan
azan dari menara masjid bertahun lamanya.
Namun derita melihat laungan azan tidak diendahkan di Malaysia,
lebih menghiris rasa.
Hari ini saya sudah pulang ke Malaysia. Cabaran membesarkan anak-anak
semakin meruncing.
Semasa di Ireland, saya pernah berbual dengan isteri sambil merenung
daun-daun
perang gugur di petang musim luruh.
"Abang rasa, kita hanya boleh tinggal di Ireland sampai usia anak
kita mencecah umur tadika.
Apabila dia perlu bersekolah, kita harus
pulang ke Malaysia", saya meluahkan pandangan tentang perancangan
masa depan kami.
Isteri saya mengangguk tanda setuju.
Saya berfikiran begitu kerana saya khuatir dengan Aqidah anak saya.
Tentu
sahaja saya patut risau.
Semasa bertugas sebagai Pengetua dan guru
di Belfast Islamic School, saya ada banyak pengalaman yang menakutkan.
Selain kisah di Belfast Zoo dan cerita evaluation
test anak-anak murid kami, saya juga tidak lupa kepada suatu insiden
di sebuah pasar raya di Lisburn Road, Belfast.
Seorang anak muda bekerja sebagai kasyer di situ dan tag namanya
tertulis "OMER". Wajahnya ada iras
Irish dan ada sedikit iras Asia. Apabila ditanya sama ada beliau
Muslim
atau tidak,
beliau termenung seketika dan berkata, "my
father is a Moslem!"
Aduh, adakah krisis identiti itu yang mahu saya risikokan kepada
anak-anak
dengan menyekolahkan mereka di Ireland?
Tentu sekali tidak.
Tetapi selepas pulang ke Malaysia, pandangan saya berubah sama sekali.
Kadang-kadang saya menangis sambil
merenung jauh dari tingkap rumah kami, "apakah
selamat anakku membesar di Malaysia?"
Ya, semasa di Ireland, saya kira amat mudah untuk saya gariskan
batas-batas
Iman dan Kufur kepada anak-anak.
"Jangan ikut perangai Spencer itu, dia bukan orang Islam!",
saya boleh menyebut begitu kepada Saiful Islam dan Naurah.
Apabila anak-anak pulang ke rumah, saya boleh berbicara dengan mudah
bahawa
yang jahat itu bukan Islam,
bagi mereka agama mereka, dan bagi kita Islam
yang satu. Garis hitam putih amat jelas.
Tetapi bagaimana di Malaysia? Spencer, Ah Meng, Ravin, Shahril,
semuanya
lebih kurang sama.
Perangai dan akhlak tidak banyak berbeza.
Grey area melebar luas. Nak dikatakan tidak Islam, dia Islam.
Tetapi kelakuannya tidak mencerminkan agama
di kad pengenalannya. Habis, mudahkah saya menerangkan
semua ini kepada anak-anak? Saya tabik kepada
rakan yang sanggup menyekolahkan anak-anak di SRJK(C),
walau pun terpaksa berulang ke sekolah menghantar
bekal makanan sendiri. Semuanya kerana mereka mahu
anak-anak membesar di dalam suatu suasana
yang garis hitam dan putihnya jelas. Mampukah saya begitu? Entahlah...
Lebih menyedihkan, sabar saya tidak seperti sabar saya semasa di
Ireland.
Hari ini apabila anak-anak buat semak,
ada kalanya macam mudah benar untuk darah
saya tersirap. Terutamanya apabila saya pulang ke rumah selepas
dua jam meredah lautan kereta. Syukurlah
saya banyak berusaha membaca dan belajar tentang topik-topik yang
membina sikap pro aktif. Saya cuba menapis
setiap insiden, agar saya memberikan respond yang tepat dan
bukannya marah berbalas marah, geram berbalas
geram, degil berbalas cubit dan sebagainya.
Saya sentiasa berasa malu apabila membaca kisah keluarga Stephen
Covey.
Profesyennya sama seperti saya.
Kami selalu out station untuk memberikan
training. Jadual kami ketat. Tetapi Stephen Covey, mempunyai 9 anak
dan dia tidak pernah terlepas daripada menghadiri
majlis dan peristiwa yang penting berkaitan dengan anak-anaknya.
Bukan suatu yang mudah untuk seorang American
membesarkan 9 anak. Saya yang dua ini pun sudah pening kepala.
Sebab itu jugalah saya tidak suka memarahi anak-anak dengan tengking
dan
leteran. Lagi banyak kita menengking,
lagi cepatlah bisanya hilang. Saya tidak
percaya kepada pendekatan marah sebagai teknik default menegur
kesalahan
anak.
Berapa ramai yang menjadi baik hasil siri
marah di sepanjang usia membesarnya? Apa yang pasti, anak yang selalu
dimarahi akan menjadi pemarah dan kemudiannya
bakal memarahi anak-anaknya pula suatu hari nanti. Ingat, anak
kita mungkin gagal mengikut kata-kata kita,
tetapi mereka tidak akan gagal meniru perangai dan tingkah laku kita
sebagai ibu dan bapa. Jika anak kita buruk
kelakuan, jangan cari sebab yang jauh. Anak-anak adalah cermin wajah
ibu dan bapa mereka.
Ya memang marah itu perlu, tetapi ia bukan pendekatan harian saya.
Saya
lebih suka bercakap dengan anak-anak
dan cuba memahamkan mereka kenapa satu-satu
perbuatan itu betul atau salah. Jika Saiful Islam naik angin, saya
akan tangkap dia dan mandikan agar 'sejuk',
kemudian saya ke bawanya ke bilik dan kami berdialog.
Biar pun soalan anak-anak bertali arus dan kekadang berpusing ke
belakang,
saya sentiasa setia melayan.
Rasa marah atau letih, rasa mengantuk atau
sengal badan, semuanya diketepikan dan saya mesti mendengar
isi bualan yang ingin dikongsi oleh
Saiful Islam dan kini Naurah juga. Biar pun isunya hanya soal kad
Grandsazer
dan Kamen Rider. Itulah wasilah saya mendengar
dan menunjukkan kasih kepada anak-anak.
Namun punca sebenar yang menjadikan saya tidak tergamak untuk memarahi
anak saya, ialah kerana
saya rasa berdosa kepada Allah terhadap mereka.
Malah kesalahan anak-anak saya yang belum mumayyiz
dan tidak aqil baligh ini kepada saya dan
ibu mereka, tidak terbanding dengan dosa saya dan isteri terhadap
mereka.
Masakan tidak. Saya telah memilih isteri yang solehah dan sebahagian
cita-cita
saya, agar akhlak mahmudah isteri
akan tumpah kepada anak-anak suatu hari ini.
Saya percaya, ramai dari kalangan kita yang melakukan perkara yang
sama.
Pendidikan anak-anak bermula dengan memilih
ibu yang baik untuk mereka.
Tetapi tumpahkah solehah isteri kepada anak-anak? Turunkah baik saya
kepada
anak-anak? Sukar untuk menjawab
soalan ini kerana orang sebenar yang membesarkan
anak-anak hari ini, adalah guru di tadika atau pembantu rumah
Indonesia.
Alhamdulillah jika yang Indonesia itu orangnya baik, bersolat dan
menjaga
batas-batas agama.
Bagaimana dengan yang berpembantu rumah seorang
penyembah berhala dari Myanmar, Thailand atau Filipina.
Kita berjumpa dengan anak-anak ketika kita sudah letih. Kita sudah
hilang
seri di wajah dan jiwa malah bahasa.
Anak-anak juga sudah mengantuk ketika
saya sampai di pintu menanggalkan kasut. Bilakah masanya kita
menumpahkan akhlak mahmudah kita kepada anak-anak?
Isteri solehah, tapi yang membesarkan anak-anak adalah pembantu rumah,
guru nursery, dan entah siapa lagi.
Ibu dan ayah di mana? Jawapannya mudah sahaja,
SIBUK BEKERJA.
Janganlah disangka kita sudah menjadi ibu dan bapa yang baik hanya
kerana
makan pakai anak-anak sudah cukup.
Itu hanya taraf lembu membesarkan anak-anaknya.
Ibu bapa manusia ada tanggungjawab yang lebih besar dari itu.
Soal makan, minum, pakaian, perlindungan,
pendidikan, makanan emosi dan spiritual, semuanya mesti diharmonikan
bersama bekalan yang tidak putus-putus. Apa
yang paling utama adalah soal jumlah masa yang kita luangkan
bersama mereka. Sudah cukupkah untuk meyakinkan
mereka, bahawa kita benar-benar kasihkan mereka?
Tetapi zaman ini, zaman membesarkan anak-anak diswastakan kepada pihak
lain. Kita sibuk bekerja dan
kerja tidak pernah habis. Anak buat perangai
mungkin semata-mata atas dorongannya untuk mencuri perhatian kita.
Ingatlah, dalam suasana kita hari ini, dosa ibu dan bapa terhadap
anak-anak,
lebih besar berbanding kesalahan mereka
kepada kita. Insaflah wahai ibu dan bapa,
jangan mudah melenting, sebelum cukup kasih diberi.
Seandainya saya memohon kotak kosong itu kekal dikosongkan, janganlah
heret saya ke suasana yang menjadikan
saya tersepit. Saya ada tanggungjawab kepada
anak-anak, anda juga sama. Anak-anak dan isteri saya, adalah mad'u
pertama
saya.
Jika kita dalam perjalanan pulang dari KL ke Ipoh, kita singgah di
Tapah
untuk Solat dan makan. Kemudian kita meneruskan perjalanan ke Ipoh.
Tetapi
selepas 15 minit memandu, baru kita tersedar yang salah seorang anak
kita
tiada.
Ketika itu kita kelam kabut mencari U-Turn
dan mulut tidak henti-henti berdoa agar anak yang tertinggal di
belakang,
selamat dan tiada mudarat.
Ya, jika kita tercicir anak di perjalanan dunia, kita ada jalan untuk
berpatah balik menyelamatkan keadaan.
Tetapi berapa ramai ustaz, doktor, polis,
jurutera, pegawai bank dan kita-kita semua yang ketika dalam
perjalanan
memanjat tangga kenaikan pangkat, kita tertinggal
isteri dan anak-anak di belakang. Jika lebuh raya kita boleh berpatah
balik.
Tetapi jika mereka ditinggalkan dari Tarbiah dan didikan Islam, ketika
kita tersedar yang mereka yang sudah jauh ketinggalan
di belakang, apakah ada jalan pulang? Apakah
ada satu lagi peluang? Jawapannya TIADA.
Jika ada lelaki atau wanita yang berjaya di dalam kerjaya, jangan lupa
kepada pengorbanan anak-anak selama ini.
Jangan lupa dosa kita terhadap mereka.
Saya hairan semasa membaca sabda Nabi SAW betapa tanda Kiamat itu
adalah
pada ibu yang melahirkan tuannya.
Anak durhaka jadi kebiasaan. Mengapa suasana
begitu boleh terjadi?
Akhirnya saya membuat kesimpulan, anak durhaka di akhir zaman, bermula
dengan dosa ibu dan bapa yang
sibuk bekerja. What you give, you get back!
Maafkan Abi dan Ummi!
Monday, January 29, 2007
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment